Saturday, March 27, 2010

THIRD CLASS SAYS NOR SAIFUL ZAINI

UPDATE: READ WHAT MHF PRESIDENT HAS TO SAY ABOUT THE THIRD CLASS REMARK ON WEDNESDAY

Kita kelas dunia ketiga - Nor Saiful


TELUK KEMANG - Masalah disiplin serta ketiadaan program pembangunan yang komprehensif di kalangan pemain disifatkan sebagai punca kemerosotan prestasi skuad hoki kebangsaan.

Pendedahan ini dibuat oleh bekas kapten pasukan hoki kebangsaan, Nor Saiful Zaini yang kecewa dengan prestasi hambar skuad hoki kebangsaan ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurut beliau, skuad hoki kebangsaan masa kini perlu berubah jika ingin meningkatkan standard dan prestasi mereka di peringkat antarabangsa.

''Dari pemerhatian saya, skuad hoki kebangsaan kini boleh dilabelkan sebagai pasukan kelas dunia ketiga berbanding Korea Selatan yang semakin jauh meningkat prestasinya.

''Ini semua berpunca daripada pembangunan dan cara latihan serta asuhan yang diberikan kepada pemain-pemain baru masa kini selain masalah disiplin yang menghantui pemain," katanya ketika ditemui di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Kg. Gelam di sini.

Jelasnya, disiplin pemain kebangsaan yang kian longgar masa kini secara tidak langsung menyebabkan mereka boleh dianggap pemain yang hebat di tanah air, tetapi bukan di peringat antarabangsa.

''Mereka (pemain kebangsaan) boleh dianggap hebat di kalangan pemain tempatan tetapi bukan jenis pemain yang boleh memberikan saingan di peringkat antarabangsa," tegasnya.

Saiful yang juga merupakan ketua jurulatih skuad hoki Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjelaskan, perubahan drastik perlu dilakukan segera demi membangunkan semula kegemilangan skuad kebangsaan dalam arena sukan hoki.

''Untuk mengatasi masalah ini, saya berpendapat Malaysia perlu mewujudkan program intensif yang khusus dalam membangunkan pelapis bukan sahaja yang berbakat, malah mempunyai disiplin tinggi ke arah melahirkan pemain yang sempurna dari segi mental dan fizikal.

''Kita seharusnya mempunyai satu program khas dalam membangunkan pemain berumur 13 hingga 18 tahun khusus untuk diserapkan ke pasukan kebangsaan," ujarnya.

Diminta mengulas masalah disiplin yang melanda pemain kebangsaan, Saiful memberitahu, disiplin pemain negara jauh ketinggalan jika ingin dibandingkan dengan negara lain.

''Sebagai contoh mudah, saya pernah mengenali seorang pemain hoki Korea yang juga merupakan pemain ketiga terbaik dunia. Namun, dia telah digantung setahun untuk mewakili skuad negaranya ekoran ditangkap merokok.

''Ini menunjukkan betapa ketatnya disiplin pemain luar negara walaupun seseorang itu dianggap sebagai bintang dan hebat. Bukan seperti pemain kita sekotak pun boleh hisap dan masih boleh mewakili negara," katanya dalam nada hampa.